Saturday, August 8, 2009

EURO2 : Jumaat 29 Mac 02 : Last Day in London

Hari ini cuti Easter. Akmal cuti. Anak buah aku seorang ini layan aku habis; dia memasak dan buat minuman untukku setiap malam dan hari ini dia akan membawa aku bersiar-siar di London sebab sebelum ini dia tidak berkesempatan kerana berkerja.

Jam 11.00 pagi kami keluar berjalan kaki ke Canary Wharf melalui tebing sungai yang cantik berhampiran WestFerry.





Di Canary Wharf kami mengambil tube line Jubilee; line yang paling baru dan yang paling dalam di bawah tanah.

Kami turun di Westminster dan berjalan kaki ke Parlimen tempat terdirinya Big Ben, menara jam yang menjadi salah satu ikon Kota London.


Big Ben

Hari ini cuacanya baik dan cerah. Cuti pula, jadi ramailah orang di kota London ini.
Akmal sengaja membawa aku ke tempat-tempat masyhur yang belum aku lawati.
Hari ini dapatlah dia menolong mengambil gambar untukku.


In front of Big Ben, and with London Eye in the backgroud


The crowd of tourist in front of Buckingham Palace

Dari Parlimen kami berjalan ke Buckingham Palace, Istana Queen Elizabeth. Ramai pengunjung di sini terutama pelancong.


In front of the Malay States Column








Basking under the London sun

Kami kemudian mengambil tube ke South Kensington. Aku sudah sampai di sini pada hari kedua aku di London dulu. Di sini Akmal membawa aku ke sebuah kedai dan mejamu aku dengan kebab yang begitu lazat.

Selepas makan kami berjalan ke Sloan Square, tempat membeli-belah golongan orang-orang kaya. Kami melalui perumahan kelas atasan. Terdapat banyak kereta-kereta mewah bersepah di tepi-tepi jalan. Porsche, Ferrari, Lotus, TransAm, Jaguar dan macam-macam lagi kereta eksotik.

Kami mengambil tube semula dan turun di Convent Garden, sebuah lagi tempat yang terkenal. Di sini ada China Town. Tempatnya sedikit kotor dan berbau. Di Convent Garden ini pengunjungnya lebih ramai. Terdapat ramai baskers dan street performer di sini. Ada yang berlagak seperti patung, robot, badut dan ada yang berjimnastik. Ramai juga yang menyanyi dan bermain muzik.

Sekali pandang kepada kumpulan orang ramai yang berkerumun ini tak ubah seperti penjual ubat di Chow Kit dan di Masjid India di KL. Aku tidaklah dapat melihat apa-apa kerana aku rendah.

Di Convent Garden ini juga terdapat bekas pasar yang diubahsuai menjadi tempat menjual barangan-barangan kraftangan seperti Central Market di KL. Di sini lah tempat 'Mat Salleh' dan pelancong melepak.

Aku dah penat berjalan dan mengajak Akmal pulang. Lagipun aku harus berehat sebab besok harus bangun awal untuk ke Heathrow Airport. Tapi ada satu lagi tempat yang ingin aku lawati iaitu Tower Bridge. Bukan apa, aku mahu bergambar dengan berlatar-belakangkan Tower Bridge. Sebab kalau dalam filem Malaysia; nak tunjukkan bahawa sudah berada di London mesti ada scene ini!


With Akmal






With the crowd


At the bank of River Thames


Along The Thames


Crossing Tower Bridge

Kami turun di Tower Hill, berhampiran dengan sungai Thames dan berjalan menyeberangi Tower Bridge ini. Tower Bridge ini memang unik kerana mempunyai dua menara cantik di tengah-tengahnyanya. Jalan yang di tengah-tengah itu boleh diangkat untuk memberi laluan kepada kapal yang besar.


Another compulsory shot.

Setelah mengambil gambar dan berehat sebentar di tebing Thames, kami pun mengambil tube di London Bridge untuk pulang ke Westferry.
Tamatlah lawatan aku di kota London ini selama seminggu.


An interesting sculpture at a road side in Westferry



In front of Akmal's apartment at Westferry

Malam ini adalah malam terakhir aku di London.
Besok aku akan mengambil penerbangan jam 10.30 pagi ke KL.
Dengan ini sampailah aku ke penghujung pengembaraan aku merentasi Eropah. Kembara yang mengambil masa selama dua puluh tiga hari dan merentasi tiga buah negara.

Wajah isteri dan anak-anak sudah mula bermain di fikiranku.
Walaupun pun tidak sampai sebulan aku meninggalkan Malaysia; bagiku terasa seperti sudah begitu lama sekali.



Well..., Good-bye Europe. Good night LONDON!


Shukri
10.15 malam waktu UK
Jumaat 29/03/02.

Friday, August 7, 2009

EURO2 : Khamis 28 Mac 02 : London 6


Missing home


Home alone

Hari in aku tak ke mana-mana. Sudah empat hari berturut-turut aku keluar ke Kota London. Aku sudah keletihan walaupun masih banyak tempat yang boleh aku lawati.
Aku berseorangan di rumah.Yang lain semuanya di tempat kerja. Aku membasuh kain baju dan menonton TV sahaja.

Aku dah tak sabar nak balik. Semalam aku dah confirm penerbangan dengan Malaysian Airline. Lusa aku akan bertolak dari Heathrow jam 10.00 pagi dan akan sampai di KL pada jam 7.30 pagi pada 31 haribulan pagi Ahad.

My wife, my kids, my baby; Abah miss you all very very much!


Taking a break


With Akmal


With Alif

Thursday, August 6, 2009

EURO2 : Rabu 27 Mac 02 : London 5


The postcard of Warhol bought at Tate Modern

Aku keluar jam 11.30 pagi setelah bersarapan dan mengisi jurnal.
Aku mengambil tube dan turun di stesen Blackfiars. Dari situ aku menyeberangi sungai Thames melalui jambatan Blackfiars. Tidak susah untuk mencari Tate modern kerana aku sudah tengok dalam peta semalam, lagipun terdapat banyak papan tanda yang mengarah ke sana.

Di London terdapat dua dua buah Tate Gallery. Satu Tate Britain dan satu lagi Tate Modern.


Tate Modern, view from the Millenium Bridge

Tate Modern ini khusus untuk hasil karya moden bermula dari abad dua puluh.
Bangunan galerinya berasal daripada peninggalan bangunan jana kuasa elektrik. Terdapat sebuah serombong asap yang besar di tengah-tengahnya. Galeri ini terletak di tebing sungai Thames di sebelah selatan kota London yang bertentangan dengan gereja St Paul. Bangunan ini mempunyai tujuh tingkat dan lima daripadanya disediakan untuk pelbagai pameran.


Entering Tate Modern

Aku memasuki galeri melalui pintu di sebelah utara. Ramai pengunjung galeri ini - kecil, besar, tua, muda; yang datangnya dari pelbagai pelusuk dunia.
Kebetulan waktu aku di sini, Andy Warhol, pelukis tersohor aliran Pop, sedang mengadakan pamerannya di sini.
Seluruh tingkat lima dikhaskan untuk pameran ini. Sebanyak 150 buah lukisannya dipamerkan. Tiket untuk pameran ini berharga 10 pound.
Aku tidak masuk kerana bajetku kecil, lagipun di kedai galeri di sinipun boleh lihat karyanya kerana kesemua karya yang dipamerkan telah dicetak dalam bentuk poskad. Tengok poskad pun sudah mencukupi, enlarge sahaja di dalam kepala! Aku membeli beberapa keping poskadnya.


Claes Oldenberg Giant 3 Way Plug(1970)

Aku ke tingkat tiga dan disambut oleh sebuah arca kayu yang bertajuk Giant 3-Way Plug oleh Claes Oldenburg yang tergantung di siling (1970).

Bilik pertama di tingkat ini mempamerkan karya-karya moden seawal tahun 1951 dan dikategorikan sebagai Still life - Object - Real life. Berbagai karya moden yang bersangkut-paut dengan still-life dan objek buatan manusia terdapat di ruangan ini. Terdapat juga sebuah karya oleh Robert Rauschenberg di dalam salah sebuah bilik di sini.


Pharmacy, an installation piece by Damien Hirst

Salah satu karya yang menarik perhatianku di tingkat ini adalah karya oleh Damien Hirst yang bertajuk Pharmacy. Keseluruhan bilik besar ini merupakan karya yang dipersembahkan dalam bentuk instalasi. Keadaannya seperti kita berada di dalam sebuah farmasi yang sebenar. Menarik bagiku kerana inilah kali pertama aku melihat karya Damien Hirst.

Selain itu aku juga tertarik dengan sebuah karya dari Eduardo Paulozzi, iaitu sebuah arca yang berbentuk manusia yang dibina seperti sebuah jentera.

Pada bahagian lain di tingkat ini juga terdapat karya-karya yang di kategorikan sebagai Landscape, Matter and Environment. Di sini terdapat karya-karya oleh Joseph Buys, Jackson Pollock dan Mark Rothko.

Karya Mark Rothko lah yang paling aku suka!

Di dalam sebuah bilik dipamerkan sebuah karyanya yang memenuhi ruang dari lantai ke siling pada ke empat-empat dinding. Yang menariknya, lukisan beliau tidak mempunyai apa-apa imajan, hanya sapuan-sapuan warna tetapi apabila berada di dalam bilik ini, bulu roma ku berdiri seperti ada suatu kuasa magnetik. Menakjubkan! Tidak pernah aku terasa sebegini dengan mana-mana hasil karya seni sebelum ini.

Tingkat empat sedang berlangsung pameran Andy Warhol. Ramai betul pengunjung di pameran ini. Bertiket, aku tidak masuk.


Dancer by Edgar Degas(1922)

Di tingkat lima aku disambut oleh sebuah arca yang begitu familiar oleh Edgar Degas. Patung seorang gadis penari, Dancer(1922).
Di sebelah kanan di tingkat ini adalah kategori Nude, Action and Body. Himpunan karya-karya yang bermotifkan figura manusia.
Di sini terdapat karya-karya dari Picasso, Braque dan Matisse. Terdapat juga karya-karya tahun 60an yang banyak terdiri daripada arca-arca dari plastik yang menonjolkan imajan-imajan figura wanita yang sensual. Aku menggemari arca-arca oleh Giacometti.



Head No 2 by Naom gabo (1916)

Di sebelah kiri tingkat ini adalah kategori History, Memory and Society. Di sini banyak karya-karya berbentuk conceptual oleh Mondrian, De Stilj, Dan Ravin dan Naom Gabo, sekadar menyebut beberapa nama yang cukup dikenali.
Salah sebuah karya yang menarik perhatianku di sini ialah Staging Discord. Aku tak ingat nama pengkaryanya. Karya ini berbentuk sebuah grand piano yang digantungkan terbalik dari siling. Piano ini bermain dengan sendirinya dan bila tiba pada satu ketika ia akan terlerai dan kemudian akan bercantum semula dan meneruskan dengan permainan musiknya. Menakjubkan!

Semasa aku mengakhiri lawatan di tingkat ini aku terserempak dengan sebuah lagi arca yang familiar oleh Naom Gabo iaitu Head no 2 (1916).




Tate Modern phamlet

Dalam melihat karya-karya di Tate modern ini, terlintas dalam kepalaku, kalaulah aku didedahkan dengan semua ini sewaktu student days dahulu, tentu bentuk karyaku akan berbeza dari bentuk karyaku sekarang. Dan terlintas juga dalam hatiku; sepatutnya orang Malaysia harus datang dan melihat semua ini. Tengok karya-karya di sini dan tengok betapa manusia di sini menghayati sepenuhnya seni visual amnya dan seni moden khususnya.


St Paul across Thame, view from Tate Modern

Aku keluar dari Tate Modern dengan perasaan yang puas.


View from the Millenium Bridge

Dari Tate modern aku menyeberangi sungai Thames melalui Millenium Bridge, sebuah jambatan moden yang baru dibina khusus untuk pejalan kaki.


The Tower Bridge view from the Millinium Bridge

Selepas menyeberangi Sungai Thames aku berasa lapar dan singgah di sebuah kedai milik orang Pakistan. Aku makan samosa sayur di situ.




Jam 2.30 petang. Masih terlalu awal untuk aku pulang. Aku mengambil tube dan turun di Embankment. Aku menuju ke National Potrait Gallery yang tidak sempat aku lawati tempoh hari. Potrait National Gallery adalah sebuah galeri yang khusus untuk karya-karya potraiture.

Banyak betul galeri di kota London. Ini baru galeri-galeri besar, belum lagi termasuk galeri-galeri swasta. Orang-orang di London ini gemar betul mengunjungi pameran lukisan. Di mana-mana galeri yang aku lawati akan terdapat pengunjung yang begitu ramai sekali.

National Potrait Gallery merupakan bangunan tiga tingkat yang mempunyai lebih kurang empat puluh bilik pameran. Kesemua kerya-karyanya merupakan karya potraiture, sama ada lukisan, catan atau arca dari seawal abad ke-16 sehingga kini. Dari karya berbentuk realist, romanticism sehinggalah karya-karya abstrak asalkan potret.

Tetapi setelah aku meluangkan masa yang begitu panjang di Tate Modern tadi, aku tidaklah berlama-lama lagi di National Potrait Gallery ini. Cuma kalau tadi aku tak dapat melihat karya Warhol, di sini dapatlah kulihat sebuah karya beliau iaitu imajan wajah Queen Elizabeth.

Di sini juga sedang berlangsung sebuah pameran oleh Mark Gilbert yang bertajuk Saving Faces. Sebuah pameran catan mengenai orang-orang yang telah menjalani pembedahan muka kerana berbagai penyakit. Sungguh gerun dan mengharukan.

Aku pulang hari ini dengan kesedaran bahawa selama aku di London ini, aku telah melihat beribu-ribu hasil karya seni berbagai genre dari berbagai zaman. Paling banyak yang pernah aku lihat dalam hidupku. Berlipat kali ganda kalau nak dibandingkan dengan apa yang pernah aku lihat sebelum ini. Kalau pulang nanti aku tidak bersungguh-sungguh juga menghasilkan karya, sia-sia sajalah.

Balik ke Westferry. Di rumah aku mendapat panggilan dari abangku. Panggilan dari Alor Star. Aku agak terkejut kerana sebaik menjawab, dia terus menyebut namaku. Dia mendapat nombor telefon dari bapa Akmal yang memberitahu bahawa aku berada di sini.

Wednesday, August 5, 2009

EURO2 : Selasa 26 Mac 02 : London 4

Seperti kebiasan Akmal dan teman-temannya selalu keluar kerja sekitar jam 8.30 pagi. Selepas mereka keluar aku akan mandi dan bersarapan cornflake dan toast.
Hari ini aku ingin ke British Musuem dan melawat galeri-galeri lagi. Apa lagi nak dibuat. Kalau duduk di rumah, aku akan asyik teringatkan famili sahaja. Lagipun inilah peluang untuk aku melawat dan melihat sebanyak mungkin lukisan dan galeri.


The tube map.

Dari rumah aku sudah merancang perjalanan aku. Hari ini aku ingin mencuba keluar tanpa membawa peta tube. Aku turun di Bank dan menukar ke Central Tube dan turun berdekatan dengan St Paul Cathedral, sebuah gereja yang masyhur di tengah-tengah kota London.


St Paul Cathedral

Aku ingin masuk ke dalam, tetapi oleh kerana perlu bayaran masuk, aku batalkan sahaja niatku. Lagipun sudah banyak gereja yang sudah aku lawati sewaktu di Itali dahulu.
Dari St paul, aku mengikut arahan di jalan untuk ke British Musuem tetapi terjumpa dengan London Musuem.


An interesting sculpture that caught my eyes at the London Musuem compound.

Di London Musuem, aku banyak mempelajari tentang sejarah Kota London. Dari zaman Roman London, Dark Age dan Saxon London ke Medieval London ke Tudor London, Early Stuart London, Late Stuart London, London di abad ke 18 sehinggalah ke tahun 1914.

Banyak betul artifak di sini. Bila melawat London Musuem ini, aku dapat mengagak dari mana negara kita belajar tentang hal ehwal muzium. Lama juga aku di sini. Aku rasa macam aku mengembara melalui masa- very educational.
Di sini juga aku berkesempatan melihat pameran fotografi mengenai keruntuhan bangunan World Trade di Amerika.


The tube ticket and the ticket for the London Musuem



Guildhall Art Gallery phamlet

Selepas London Musuem, aku ingin ke Bond Street tetapi terserempak dengan satu lagi galeri iaitu Guildhall Gallery. Sebuah galeri yang banyak mempunyai lukisan yang bersangkut-paut dengan kota London. Bayarannya 2.10 pound. Aku masuk kerana tiketnya murah. Terdapat banyak lukisan tetapi semuanya adalah gaya realis dan semuanya gambaran kota London.


The 'Hare Rama' followers doing their stuff at Oxford Street.

Dari Guildhall Gallery, aku mengambil Central tube dan turun di Bond Street. Berhampiran Bond Street terdapat Oxford Street, satu kawasan membeli-belah yang begitu ramai pengunjung. Penuh dengan pejalan kaki di kiri kanan jalan. Di sini terdapat banyak kedai-kedai berjenama.
Di salah sebuah kedai, aku ternampak muka depan akhbar memaparkan berita Afghanistan dilanda gempa bumi.


The Wallace Collection building.

Aku ke Oxford Street untuk mencari sebuah galeri yang bernama The Wallace Collection kerana aku dapat phamplet mengenai sebuah pameran lukisan 'French Drawing from the Ashmolean Musuem' yang sedang berlangsung di situ. Apa yang menarik perhatianku adalah tajuknya iaitu
'From Poussin to Cezzane'



The Wallace collection ticket

Bangunan The Wallace Collection ini terletak berhampiran denagan Manchester Square berdekatan dengan Oxford Street.
The Wallace Collection ini adalah muzium yang menempatkan koleksi-koleksi peribadi seorang individu. Berbagai khazanah terdapat di dalamnya termasuk lukisan, perabot, senjata dan berbagai barangan lagi. Yang menakjubnya, kesemua ini adalah koleksi perseorangan sahaja. Tentulah orangnya sangat kaya.


The phamplet of the on-going exhibit at The Wallace Collection

Aku memasuki ruangan pameran drawing dan melihat lukisan-lukisan dari pensil dan charcoal oleh pelukis Nicholas Poussin yang bertarikh 1665- lama betul! Terdapat juga lukisan dari Ingress- 1823, Delacroix-1820, Corot-1850, Courbet- 1850, Pissaro- 1890, Millet- 1866.
Terdapat juga lukisan Manet bertajuk 'Lunch on the grass'- satu lukisan study untuk sebuah catannya yang terkenal iaitu 'Le Dejouner aur I'herbe'- 1863.
Terdapat juga lukisan Cezzane yang bertajuk 'Still life of peaches and figs' yang menggunakan graphite and watercolor pada tahun 1883.
Juga lukisan oleh Degas, ' A seated jockey' dalam charcoal bertarikh 1862.

Inilah kali pertama aku dapat melihat drawing of Old Masters. Sebelum ini aku hanya melihat catan-catan sahaja. Berbaloi jugalah lawatan aku ke sini.

Di The Wallace Collection ini, pengunjung-pengunjungnya terdiri dari golongan yang berumur. Mungkin kerana koleksi-koleksinya berupa lukisan-lukisan yang antik-antik. Banyak koleksi pinggan mangkuk dan perhiasan lama lama.
Terdapat juga koleksi catan yang menggambarkan pemandangan Kota Venice oleh berbagai pelukis. Yang mengkagumkan aku dengan lukisan-lukisan ini adalah pemandangan Venicenya. Pemandangannya serupa macam mana yang aku baru tempuhi, walaupun lukisan-lukisan ini dilukis beratus-ratus tahun dahulu.


A postcard of some of the exhibit at The Wallace Collection. The only souvenir that I can afford here.

Balik di rumah aku selalu ditanya tentang ke mana aku pergi oleh Hazi dan Alif (teman serumah Akmal) Mereka seterusnya akan memberi cadangan tentang beberapa tempat lagi untuk aku lawati. Masuk hari ini, sudah tiga hari berturut-turut aku merayau di kota London ini.
Sudah beribu artifak dan karya seni yang telah aku tengok. Naik tube pun dah tak perlu bawa peta lagi.
Besok aku akan ke Tate Modern Gallery pula. Good night!

Jurnal Meleret !



Aku dah rasa tak larat nak perabih jurnal ni.... rasa dah boring la pulak...!