Hari ini Akmal mengajak aku ke International Motor Show. Aku malas ikut. Aku hendak belajar keluar ke London bersendirian. Badanku dah mula sihat dan tanaga pun semakin kuat sebab dah selalu jumpa nasi.
Akmal memberiku kad tube bulanannya. Aku boleh naik sama ada bas atau tren ke mana sahaja. Selepas menanyai dia sedikit sebanyak tentang perjalanan, akupun keluar jam 11.00 pagi berbekalkan peta tube.
Aku mengambil tube Dockland dari Westferry dan turun di Bank (nama sebuah tempat), dari Bank aku tukar ke Central tube dan turun di Lancaster Gate, sebab dalam buku London visitors guide yang diberikan Akmal, tertera kawasan pelukis jalanan di Bayswater Road.
Bergerak dengan tube ni, kita langsung tidak nampak pemandangan luar sebab ia merupakan rangkaian keretapi bawah tanah. Banyak line, berselang-seli tetapi berangkai antara satu sama lain. Kalau nak tengok dunia luar terpaksa turun dari tren dan naik ke dunia luar. Kalau kita bayangkan, London underground ni macam rangkaian jalan semut atau anai-anai di bawah tanah.
Aku turun dan keluar di Lancaster gate dan terus ke Bayswater Road. Tempat ini berhampiran dengan Hyde Park. Di sepanjang pagar taman, di tepi sebuah jalan, terdapat berpuluh-puluh pelukis memperagakan hasil karya mereka. Panjangnya tempat pelukis-pelukis ini hampir sebatu.
Bandar ini merupakan kawasan orang-orang kaya. Aku ternampak banyak kereta-kereta mewah seperti Rolls Royce dan limosin yang panjang-panjang. Di sini jugalah buat pertama kalinya aku tersempak dengan bas dua tingkat berwarna merah yang menjadi salah satu ikon Kota London.
Artist at Bayswater road, London
Aku memang suka melawat tempat-tempat pelukis jalanan seperti ini kerana aku dapat melihat bagaimana pelukis-pelukis jalanan di serata tempat berkarya. Aku juga seperti mereka cuma aku lebih bernasib baik sama ada dari segi ruang untuk berkarya atau dari segi harga jualan.
Di Florence,Venice dan Paris, karya-karya pelukis-pelukis jalanan mereka lebih berunsur touristic, iaitu gambaran mengenai tempat dan bangunan-bangunan masyhur di situ. Tetapi di Bayswater ini, lain sedikit.Pelukis-pelukisnya menghasilkan karya-karya individu seperti juga dengan pelukis-pelukis di Jalan Conlay, Malaysia.
Terdapat berbagai gaya ekspresi. Dari gaya realist atau natural, ekspresionis, pop sehinggalah kepada gaya minimalis. Terdapat juga karya ala pelukis-pelukis tersohor. Ada gaya ala Van Gogh, Warhol dan Mark Rothko. Terdapat juga arca-arca kecil yang diperbuat daripada besi dan kayu. Di celah-celah berbagai gaya lukisan kelihatan juga yang menjual ukiran berupa ayat- ayat Al- Quran yang diperbuat daripada copper.
Ada seorang pelukis yang melukis imajan perempuan-perempuan gemuk ala Botero. Aku teringatkan temanku di Conlay, Haris Ribut, cuma figura-figura di dalam karya pelukis ini berbogel.
Pelukis pelukis di Bayswater ni bukan calang-calang. Mereka meletakkan kereta mereka di sebelah tempat masing-masing sambil duduk di dalamnya. Banyak yang pakai caravan atau motor home yang penuh dengan lukisan dan frem dan ada yang lengkap dengan dapur untuk memasak. Yang mempunyai Mercedes terkini pun ada.
Aku dapati paling rendah harga karya-karya mereka adalah sebanyak 150 pound.
The Street scene near Bayswater Road
The red phone booth, another icon for London
Setelah puas melihat pelukis-pelukis Bayswater, aku mengambil tube semula dan turun di Embankment. Di sini secara tidak sengaja aku terjumpa dengan Trafalgar Square, satu tempat yang popular bagi pelancong ke London. Terdapat sebuah tiang yang tinggi dipanggil Nelson Monument yang dikelilingi oleh patung empat ekor singa besar.
The Nelson Monument
The famous lion statues at Trafalgar Square
The London National Art Gallery opposite Trafalgar Square
The Entrance of The National Art Gallery
Bertentangan dengan Trafalgar Square terdapat London National Gallery. Galeri ini amatlah besar dan merupakan sebuah bangunan lama yang mempunyai empat bahagian atau wings.
A poster of an ongoing exhibit at the London National Art Gallery
Sainsbury Wing memuatkan lukisan dari tahun 1250 hingga 1500.
Di sini terdapat banyak betul lukisan-lukisan klasik gaya realis termasuk lukisan oleh Leonardo Da Vinci, Van Eyck, Boticelli, Raphael dan lain lain lagi.
Lukisan-lukisan ini, walaupun sudah beratus tahun, warna-warnanya masih segar cuma permukaannya sahaja yang sudah meretak. Mungkin mereka( National Gallery) arif tentang hal-hal pemulihan karya.
Aku melihat-lihat dengan pantas sahaja.
The gallery's phamlet
Di West Wing pula terdapat karya-karya pelukis dari tahun 1500 sehingga 1600. Ini termasuklah lukisan-lukisan oleh Holbein, El Greco, Michaelangelo, Raphael, Titian, Veronese dan sebagainya. Karya-karya di sini banyak mengenai Kristianiti dan Nabi Isa.
Tahap realis pada zaman ini amat tinggi sekali. Susah hendak diterangkan! Contohnya gambaran kain pada pakaian itu jelas sehinggalah ke jalinan benangnya. Aku laju juga di sini!
Bathers at Asnieres by Seurat. This is one of the pieces that I manage to view at the gallery. It is a very large oil painting done in 1883. 201 x301 cm. (Photo taken from a book)
Bahagian yang paling popular dengan pengunjung adalah East wing yang menempatkan karya-karya dari tahun1700 sehingga 1900. Di sini terdapat karya-karya oleh Turner, Constable, Hogarth dan kelompok Impressionist seperti Monet, Renoir, Seurat, Van gogh, Cezzane dan Degas.
Sekali lagi aku mengalami perasaan terharu apabila melihat karya Van Gogh secara first hand. Terdapat tiga buah lukisannya; 'Wheatfield and Cyprus' dan dua buah lagi yang jarang kita jumpa di dalam buku.
Apabila kita berdiri di hadapan karya masyhur ini, kita tahu yang pelukisnya juga pernah berada di tempat yang sama dengan kita. Jadi terdapat satu perasaan seolah-olah Van Gogh turut ada bersama di situ.
Sayang sekali, dua buah karya beliau yang terkenal iaitu 'Van Gogh's Chair' dan 'Sun Flower' telah dipinjamkan kepada Galeri Belanda. Tempatnya dibiarkan kosong dan dilekatkan nota tentang peminjaman itu.
Aku juga berhadapan dengan karya Monet iaitu lukisan jambatan di tamannya dan juga karya waterlillynya. Karya ini sudah hampir-hampir seperti gaya abstrak sebab pada penghujung hayatnya, penglihatannya sudah mulai kabur.
Terdapat juga karya-karya Gaugin di Tahiti. Selain itu, terdapat karya Seurat yang masyur iaitu 'Bathers at Asnieres', yang selalu ditemui dalam buku-buku sejarah seni expressionist. Sebelum ini tidak pernah kujangka lukisannya sebesar ini!
Terdapat juga karya-karya Picasso, Cezzane dan Degas. Karya Picasso tidak berapa banyak di sini. Banyak lagi yang aku tengok sewaktu di Venice dahulu. Bahagian inilah yang paling ramai pengunjung.
Di sini pengunjung berpusu-pusu melihat lukisan, bukan macam di negara kita.
Ada yang merenung begitu lama, ada yang menerangkan sesuatu kepada anak-anak mereka, ada guru yang memberi kuliah, ada yang mencatit sesuatu dan tidak kurang juga yang asyik melakar (mungkin pelajar seni).
Aku tidak memasuki North Wing. Di sini terdapat karya-karya dari pelukis tahun 1600 sehingga 1700, seperti Rembrandt, Vermeer, Poussin, Rubens, Valasquez dan Caravagio. Sebabnya kerana aku sudah begitu letih. Lagipun aku dah rasa puas melihat karya-karya Impressionist tadi. Mungkin aku boleh ke sini lagi nanti. Keseluruhannya National Art Gallery London ini mempunyai 66 bilik pameran yang amat besar.
Dari National Art Gallery, aku teruskan perjalanan dan ternampak sebuah lagi galeri iaitu Potrait gallery. Aku tidak masuk sebab hari sudah petang dan perutku pun sudah lapar. Aku singgah membeli tuna sandwich dan kopi dan menikmatinya di sebuah taman bersebelahan dengan tebing sungai Thames.
Dari Embankment, aku mengambil tube semula dan turun di Monument. Aku menyeberangi sungai Thames melalui London Bridge dan ternampak Tower Bridge yang masyhur itu tetapi aku tidak turun menghampiri tebingnya.
Aku mengambil tube semula dan pulang ke Westferry dengan perasaan yang amat puas kerana dapat melihat banyak karya-karya pelukis ternama dan juga kerana dah lulus menggunakan tube. Besok aku akan merayau lagi...!
Phamlet of one of the exhibit
Monday, August 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
teringat gak masa saya sorang jalan2 di oxford street sampai ke trafagar square...pakai kasut baru beli clark sampai melecet kaki he2...orang tak berduit jalan di kota london itu la jadinya...
ReplyDeleteBaywaters memang kawasan yang seronok di lawati..bole hayal di buat
pernah lepak waktu malam kat hyde park...ramai plak orang beromen...
banyak gak pengalaman seminggu kat kota london...jadi bila bro cerita ni serba sedikit terimbas gak pengalaman tu...saya dah dua kali ke kota london...tapi perancis dan italy saya takpernah sampai..bro lagi hebat pengalaman
saya pun kalau tak kerana penglibatan dengan melukis, tak tahu boleh pergi ke tidak, apapun saya bersyukur atas rezki yang dikurniakan. Cuma sekarang ni dah terkena gigitan traveller's bug. Kalau tak keluar ke mana2 dalam setahun, gelisah habis.
ReplyDelete