Friday, July 31, 2009

EURO2 : Khamis 21 Mac 02 : Paris

Di Paris aku mandi dua kali sehari, orang Malaysia ni tak boleh kalau tak mandi. Sejuk macam mana sekalipun mesti mandi. Mujurlah ada air panas.

Aku menambah sewaan hostel satu hari lagi dan keluar ke Paris jam 9.30 pagi. Sebelum itu aku menelefon Malaysian Airline untuk mempercepatkan tarikh kepulanganku. Pertama sebab aku dah mula rasa homesick dan kedua kerana 'fulus' semakin berkurangan.
Paling awal flight yang ada pada 30 Mac. Ini bermakna aku harus tinggal di sini selama sembilan hari lagi. Itu pun aku dah memendekkannya selama lima hari dari tarikh asal.
Setelah mengira baki duitku, aku bercadang untuk membatalkan saja niatku ke London dan Amsterdam. Baki duitku cukup-cukup untuk berada di Paris sehingga pulang.

Aku mengambil Metro keluar ke bandar Paris. Wah... dah pandai main Metro!
Aku mesti cari Louvre, galeri yang ada piramid kaca di halaman depannya.


The Seine

Aku turun di Catalet dan menyusuri tebing sungai Seine (aku teringatkan Van Gogh).


Air sungai Seine tidak jauh beza warnanya dengan sungai Klang cuma ianya bersih tanpa sebarang sampah sarap.

Timer shot. You have to find a spot for you to prop up your camera for the shoot.


The weather is quite cloudy today


Flocks of tourist preparing to enter the Louvre


The Louvre

Di Louvre aku hanya mengambil gambar dari luar. Aku tidak masuk melawat galeri walaupun tiketnya hanya 8 euro sahaja. Aku termenung di luar sambil menghayati seni bina klasiknya.Tidak apalah tak dapat berjumpa dengan 'Mona Lisa'. Aku ada membawa cat air, kononnya mahu melukis tapi habuk pun tak ada!



The iconic glass pyramid


Contrast of old and new


Compulsory posing in front of The Louvre for every artist.



Eifel Tower already in view.

Dari Louvre aku bergerak menuju ke Champ De Elysis, pintu gerbang besar yang berupa ikon kedua kota Paris selepas Eifel Tower.
Aku singgah di pertengahan jalan untuk membeli crepes lagi, sekali ini berintikan jam pula. Aku gemar betul lempeng Perancis ini.


Arc De Triumph

Aku teruskan berjalan ke gerbang Champ De Elysis (Arc de Triumph). Nampaknya seperti dekat tetapi sebenarnya agak jauh juga.

Di Paris ini terdapat pekerja beruniform dan berbasikal, yang kerjanya mengutip najis-najis anjing yang bertaburan di sepanjang jalan di bandar. Aku tidak pasti sama ada orang Perancis ni pembersih atau mereka betul-betul sayangkan anjing.



Dari sini aku menuju ke Eifel Tower pula. Di pertengahan jalan aku digamit oleh seorang lelaki yang berada di dalam sebuah kereta. Aku teringat pesanan abang aku dan juga Larry supaya jangan percayakan sesiapa sewaktu travel tetapi aku nampak seperti dia memerlukan pertolongan. Aku menghampiri dan dia perkenalkan dirinya.



Namanya Sign Gemmare. Seorang pengarah pameran sebuah syarikat yang mengeluarkan pakaian berjenama dari Rome. Dia menghulurkan kad nama dan menceritakan yang dia di Paris atas urusan pameran pakaian berjenama Moda V Italiana. Dia menunjukan dua helai jaket kulit yang cantik bersama katalognya. Dia akan memberinya kepadaku jika aku dapat membantunya.
Aku agak skeptikal dan takut akan terkena. Dia menceritakan bahawa dia telah kalah judi semalam sambil menunjukkan sekeping chip casino kepadaku bersama paspotnya.

Dia memerlukan US100 untuk mengisi minyak keretanya yang telah kehabisan untuk pulang ke Rome. Aku tak tahu sama ada ceritanya tulin ataupun tidak. Aku memberitahunya bahawa aku tak berduit kerana aku hanyalah seorang poor traveller. Dia kata bagilah berapa yang aku ada kerana dia malu untuk meminta dari orang lain. Inipun katanya dia dah menjual air mukanya.

Aku terasa kesian dan dalam masa yang sama aku teringin juga pada jaket tadi. Lagipun kalau orang nak menjual jaket secantik ini tak kanlah semurah itu. Sewaktu di Florence aku perhatikan, semurah- murah jaket kulit berharga 80 euro. Ini dua helai pulak tu! Dengan taik judi ni apapun boleh jadi.

Aku menawarkan 20 euro kepadanya tetapi dia berkata yang jumlah itu tidak mencukupi dan menarik muka kesian. Aku menambah tawaranku ke 60 euro kerana aku hanya ada 80 euro sahaja di dalam dompetku, yang lain aku simpan berasingan. Dia meminta supaya aku menambah lagi 10 euro. Aku bersetuju dan dia amat gembira lalu memberi kedua jaket itu kepadaku.

Aku rasa seperti tidak percaya. Dia menambah kalau aku ke Rome, dia akan belanja aku makan dan akan membayar balik duitku. Jaket itu dihadiahkan kepadaku.



Aku merasakan mungkin ini rezeki aku kerana aku memang inginkan jaket kulit dari Itali sebelum ini, cuma aku tak cukup duit untuk membelinya.

Sambil berjalan aku akan berhenti dan membuka beg untuk melihat jaket tadi kerana aku masih tidak percaya dengan apa yang telah berlaku padaku. Dua helai jaket kulit paling tidak berharga 200 ke 300 euro sehelai, tapi aku memilikinya dengan harga yang sangat murah.



Berjalanlah aku menuju ke Eifel Tower seperti orang yang baru sudah shopping di butik yang eksklusif, cuma sekarang bajetku semakin sempit. Aku masih mampu untuk membayar sewa hostel sehingga pulang, cuma makan tidak boleh sesuka hati lagi.


The ever iconoc Eifel Tower

Aku tiba di Eifel Tower dan termenung sejenak betul-betul di bawah menara. Aku mengambil sedikit foto sahaja kerana aku jangkakan yang besok aku boleh datang ke sini semula. Lagipun aku aku ingin segera pulang ke hostel untuk meneliti betul-betul jaket yang aku dapat ini.



Di pertengahan jalan, hujan turun dengan renyai. Aku teruskan langkahku sambil mengepit beg berisi jaket tadi rapat ke badanku.


Setibanya aku di hostel, aku terus mengunci pintu dan memeriksa jaket tadi. Buatannya cantik cuma saiznya sedikit besar untukku. Tak kisahlah, jaket kalau sedikit besar tidak mengapa. Sehelai lagi berupa kot untuk wanita, siap dengan bulu di kolar dan tangan.

Terlintas juga untuk aku menjualkannya di sini supaya dapat menampung perbelanjaanku tapi takut juga nanti aku dituduh mencuri. Aku melipat dan menyimpan ke dalam beg setelah dua kali mencubanya.

Pada sebelah petang aku mendapat teman bilik yang baru. Seorang lagi pemuda Jepun bernama Takashi. Kami saling memperkenalkan diri. Kalau semalam Yoshi dari Tokyo seorang pelajar seni bina, kali ini pelajar tahun akhir jurusan elektronik dari Osaka pula. Aku dapati orang Jepun memang peramah walaupun bahasa Inggeris mereka teruk.

Kami berbual panjang. Kemudian Takashi mengajak aku keluar bersama, tetapi aku menolak kerana aku ingin berada di bilik sahaja. Aku sudah tak berdaya untuk keluar lagi. Biskut sajalah untukku malam ini.

Aku bercadang untuk tinggal sehari sahaja lagi di Paris dan bertekad untuk teruskan juga perjalanananku ke London. Aku fikir lebih baik aku gunakan perbelanjaanku di Paris ini sebagai tambang ke London.

Tiket kapalterbang yang telah ditempah adalah penerbangan dari Paris ke KL dan transit di London; dan hanya boleh digunakan pada 30 Mac. Transit di London, bererti aku tidak akan berpeluang untuk melawat kota London. Akhirnya aku menetapkan keputusanku. Esok aku akan menelefon Malaysian Airline lagi untuk cormfirm bahawa aku akan hanya mengambil penerbangan dari London ke KL pada 30 Mac. Jadi aku akan bertolak ke London dengan keretapi lebih awal dari Paris ini


EPILOG

Setelah seminggu aku memakai jaket tadi di London, barulah terbukti bahawa ianya bukanlah dari kulit yang bermutu tinggi. Rupanya aku terkena juga. Tapi, 70 euro untuk dua jaket kulit murahan tidaklah begitu teruk. Nasib aku masih baik kerana waktu itu wangku tidak banyak. Dalam berjaga-jaga pun terkena jugak. Hidup ini serupa saja di mana-mana, sentiasa ada manusia yang cuba untuk mencari rezeki dengan memperdayakan orang lain. Kedua dua jaket tadi masih kusimpan hingga ke hari ini sebagai 'momento' kembara aku di Paris ini.

Thursday, July 30, 2009

EURO2 : Rabu 20 Mac : Paris

Aku terjaga jam 6.00 pagi. Keretapi ekspres meluncur dengan laju dan senyap. Aku ke tandas untuk memberus gigi dan membasuh mukaku. Di luar keadaan dah mula cerah dan dapatlah aku melihat muka bumi Perancis sambil menyedut rokok.

Pemandangan di luar sungguh cantik bercahayakan matahari pagi. Bumi Perancis sungguh bersih. Rumah-rumah berseni bina klasik tersusun indah. Aku dapati negara Perancis lebih bersih dan teratur kalau nak dibandingkan dengan Itali.

Walaupun begitu terdapat juga grafiti di tembok-tembok sepanjang landasan.
Aku mengagak bahawa di mana saja ada anak muda, tentu ada grafiti. Ini tabiat atau ekspresi anak anak muda di mana sahaja pada zaman ini. Grafiti di Perancis tidak secantik dan berseni kalau nak dibandingkan dengan grafiti di Itali. Mungkin di Itali mereka boleh menconteng dengan tenang atau mungkin juga orang-orang Itali memang lebih artistik.

Penumpang diberi secawan kopi panas. Setengah jam sebelum tiba di Paris cuaca begitu cerah dan ini memberi harapan padaku yang aku akan gembira berada di Paris.
Namun begitu aku gagal juga mengusir kerisauan - sambil menikmati pemandangan yang cantik, fikiranku tetap berlegar sekitar persoalan bagaimana aku akan mampu berada di sini kerana kewanganku semakin terhad.

Mahalkah sewa bilik di Paris? Kalau macam Milan bagaimana...? Mungkin aku akan percepatkan kepulanganku.

Aku ingin juga ke London untuk menemui Akmal, anak saudaraku. Aku juga teringin ke Amsterdam. Ah... lupakan sajalah! Dapat menjejakkan kaki di kota Paris ni pun dah kira cukup bagus. Atau..., aku boleh meminjam sedikit wang dari Akmal setibanya aku di London dan membayar kembali bila aku pulang nanti. Malu juga rasanya nak meminjam dari anak buah walaupun dia sudah bekerja. Tengoklah nanti!

Apabila keretapi menghampiri Paris, langit menjadi gelap semula. Pemandangan dipenuhi dengan bangunan-bangunan perindustrian menandakan yang kami telahpun memasuki kota Paris.

Pemandu mengumumkan ketibaan dan Alhamdulillah, jam 8.35 pagi, aku menjejakkan kakiku di bumi Paris di stesen keretapi Paris Bercy (Paris mempunyai empat stesen utama keretapi) Stesen Paris Bercy hanya sebesar stesen keretapi Kuala Lumpur yang lama dulu.

Aku berhenti di luar stesen untuk mengemaskan begku sambil menyedut rokok. Aku dihampiri oleh seorang anak muda (ulat) yang mempromosikan sebuah hostel. Harganya menarik, hanya 15 euro untuk satu malam. Dia memberi peta dan menerangkan kepadaku bagaimana hendak ke sana. Aku agak tertarik kerana selain harganya yang dalam kemampuanku, kawasannya pula berhampiran dengan Montmarte; tempat yang menjadi penyebab kepada keinginanku untuk ke Paris ini.

Aku mengikut arahan peta dan mencari stesen Metro nombor 14 dari Bercy ke Catalet. Metro adalah rangkaian keretapi bawah tanah seperti LRT di KL. Harga tiketnya 1.30 euro untuk satu hala. Di Catalet aku menukar tren ke Barbes dengan menggunakan tiket yang sama.
Setibanya di Barbes, aku mencari hostel yang bernama Friends. Setelah berpusing-pusing, baru aku sedar rupanya ia berada betul-betul berhampiran dengan tempat yang aku turun tadi.

Hostel Friends ini untuk backpackers. Satu bilik memuatkan tiga hingga empat orang dan aku ditempatkan di bilik nombor 14. Biliknya agak luas tetapi tandas dan bilik mandi di tempat berasingan.

Selepas meletakkan beg di dalam bilik, aku keluar merayau mengikut kaki. Hostel ini kepunyaan keluarga Arab dan berada di kawasan orang Islam berhampiran dengan Montmarte. Di sini terdapat ramai orang Islam berbangsa Arab dan ramai lagi orang Islam berkulit hitam. Terdapat sebuah masjid berhampiran dan aku tidak risau untuk mendapatkan makanan halal.


The famous Sacre Cour Dome

Aku menuju ke kawasan Montmarte dan mendaki mencari bangunan Sacre Coure Dome. Bangunan-bangunan inilah yang pertama kucari setibanya di Barbes. Sebabnya beberapa tahun dulu, sebagai free-lance artist, aku pernah melukis gereja ini dan bangunan-bangunan lain di Montmarte ini untuk dijadikan back drop majlis pelancaran French Airlines. Bagai tidak percaya melihat gereja masyur yang menjadi salah sebuah land mark kota ini; yang dulu kulihat dalam buku, kini berada di depan mata.


Au Lapin Agile, exactly as it is in the book.

Aku juga menemui bangunan Au Lapin Agile dan Le Maison Rose yang juga terdapat dalam buku rujukan sewaktu melukis dahulu. Satu perasaan gembira dan kagum menusuk-nusuk hatiku. Pertamanya kerana aku berjaya sampai ke tempat yang aku idamkan semenjak 1991 dahulu dan kedua kerana ia masih seperti gambar dalam buku rujukan aku dahulu. Sebijik !


Le Maison Rose


A place for artist to display their painting skills

Di puncak bukit aku sampai di kawasan yang khusus disediakan untuk pelukis-pelukis jalanan. Melihat pelukis-pelukis di sini mengingatkan aku pada teman-teman pelukis di perkampungan pelukis di Jalan Conlay, KL. Kami di Jalan Conlay mempunyai ruang yang lebih luas untuk berkarya dan mempamir. Bezanya di sini, pelukisnya lebih ramai dan kebanyakannya adalah pelukis dalam bentuk realist. Subject matter lukisan juga lebih touristic, iaitu lukisan bangunan-bangunan terkenal di sini. Manakala pelukis potretnya pula melukis secara live sitting dan bukan dari gambar. Kawasan ini dikelilingi oleh restoran yang dipenuhi dengan peminat-peminat seni.



A heaven for artist and art lover.



Another familiar sight for me

Di sini aku terasa lapar dan membeli sekeping crepe, sejenis kuih seakan kuih ketayap tetapi lebih besar dan dilipat dengan berlainan cara dan diisi dengan bahan kesukaan kita. Aku memesan inti tomato (tomat, dalam bahasa Perancis) berserta dua jenis keju. Harganya 4 euro. Sedap ! Aku memakan dengan kemaruk sebab terlalu lapar.


View of Paris from the top of Montmarte. Awesome...

Aku turun dari Montmarte mengikut jalan lain dan di sini barulah aku nampak sebahagian daripada kota Paris. MasyaAllah... besarnya. Di sini jugalah aku dapat melihat buat pertama kalinya Eifel Tower nun jauh di sana. Aku akan ke sana besok.


Paris from Montmarte

Jam 2 petang, aku balik ke bilik dan bertemu dengan penyewa sebilikku, Yoshi dari Tokyo. Seorang pelajar seni bina yang melawat Eropah buat kali kedua. Dia sudah dua minggu berada di Eropah dan besok akan ke London untuk pulang ke Jepun. Kami bercerita tentang pengalaman masing-masing di Eropah.

Jam 6 petang, aku keluar semula untuk mengenali kawasan berhampiran. Di Barbes ni banyak betul orang Arab dan Afrika. Aku tersilap memasuki sebuah jalan yang sunyi dan berselisih dengan beberapa orang berkulit hitam. Yang peliknya aku terasa tidak selesa walaupun aku tahu mereka orang Islam. Aku terasa lebih selamat berada di kawasan seberang iaitu kawasan orang Perancis.

Aku terjumpa kedai Turki yang menjual kebab. Aku pun belilah. Harganya empat euro. Punyalah besar! Rotinya diisi dengan daging kebab, sayur dan kentang yang menimbun. Aku ingat aku tak akan dapat menghabiskannya, rupa-rupanya, licin. Punyalah kenyang sehingga aku tak perlu makan sampai tengahari esok!. Inilah kali pertama aku memakan daging semenjak meninggalkan Malaysia.

Balik ke bilik, aku dapati Yoshi sudah keluar. Aku tidur dengan perut yang begitu kenyang.
Aku bermimpi berada di kampung. Dalam mimpi itu aku terasa yang pengalaman aku di Eropah ini sebenarnya hanya sebuah mimpi.... bukan betul. Mungkin aku dah mula rasa homesick.

Wednesday, July 29, 2009

EURO2 : Selasa 19 Mac 02 : Milano

Aku bangun jam 7.00 pagi dan mengisi jurnalku selepas mandi. Aku akan check-out dari hotel Doge ini sebentar lagi. keretapi ke Milan akan berlepas jam 11.00 pagi.
Aku hanya bersarapan biskut lebihan semalam.
Dua hari di Venice ni memang tidak puas, tapi buatku sekadar melintasinya dalam perjalananku di Eropah ini sudah cukup memadai.
Ciao Venezia! Bonjorno Milano!


Eurostar, fast and efficient



Eurostar ticket from Venice to Milan, 19.16 euro.

Keretapi ke Milan dari Venice bertolak jam 11.00 pagi. Aku sampai di stesen Ferruvia satu jam lebih awal. Bersarapan tuna sandwich yang aku beli di situ, enak juga rasanya.
Last glimpse of Venice from the station. Ciao Venezia. I'll be back.

Pemandangan dari atas keretapi sama seperti pemandangan dari Florence; dipenuhi dengan kehijauan tanah pertanian. Keretapi melintasi bandar Verona dan tiba di Milan jam 2.00 petang.


Milano Centrale, Milan's Railway Station

Stesen keretapi Milan Central ini sangat besar, jauh lebih besar daripada stesen Florence dan Venice.
Stesennya mempunyai 22 landasan, yang terletak dua tingkat dari paras bandar.
Aku tinggalkan bagku di kaunter bagasi dengan bayaran 2 euro untuk tempoh 12 jam, jadi tak perlulah aku mengusung bagku merata-rata. Lagipun aku terasa yang bag aku semakin lama semakin berat.


An interesting sculpture infront of Milanos centrale

Mula-mula, aku mencari Mc Donald. Aku tersilap kerana memesan nasi, ada pork, terus ke dalam tong sampahlah jawabnya. Membazir betul.
Aku merayau mencari hotel murah, tetapi hotel yang paling murah aku jumpa di bandar Milan ini berharga 60 euro. Macam mana ni? Duit sudah tinggal sedikit, perjalanan masih jauh, ingin ke Paris lagi.
Aku menjadi panik. Aku bergegas ke stesen Central semula untuk bertanyakan tren ke Paris. Jam 4.00 petang, ada tren ke Paris Lyon, tetapi kalau aku ambil, aku hanya ada satu jam untuk melawat Milan, mana sempat.
Hendak bermalam di Milan, mahal sangat. Lagi satu pilihan yang aku ada ialah mengambil tren malam, Euronight. Tren ini bertolak jam 10.00 malam dan berkatil. Aku perlu buat keputusan dengan segera.

Akhirnya aku membuat keputusan untuk menempah tiket tren ke Paris malam ini. Jadual tiba di paris, jam 8.30 pagi besok dan berharga 96 euro. Kopaklah aku, tapi tidak mengapa asalkan aku sampai ke Paris. Nak buat macammana, Milan ni mahal sangat, lebih mahal dari Florence dan Venice.


Milan's classical architecture

Aku ada 6 jam sebelum waktu bertolak. Merayaulah aku mengelilingi bandar Milan.
Milan merupakan pusat fesyen untuk dunia. Orang-orangnya fashionable belaka. Butik-butik berjenama bersepah. Kita dapat bezakan antara penduduk bandar ini dengan pelancong hanya melalui pakaian mereka. Pelancong terutama backpackers seperti aku, selekeh habis. Jumlah pelancong juga tidak seramai Florence atau Venice.

Kota Milan seperti kota-kota Itali yang lain, dipenuhi dengan bangunan bangunan klasik. Cuma yang menarik sikit ialah pengangkutan trem yang merintangi jalan-jalannya.
Aku juga tidak ketinggalan melawat Jalan Beunos Aires, kawasan utama yang menempatkan deretan butik-butik berjenama mewah. Window shopping sajalah buat ku. Tengok melalui cermin dari luar sajalah. Nak masukpun tak berani!


Milan's light blends with the city's rustic charm

Terdapat banyak betul restoran Mc Donald di bandar Milan ni. Orang orang Milan gemar betul dengan Mc D, atau mungkin kawasan yang aku merayau ini, kawasan pelancong. Walaupun kawasan yang aku dah lalui ini tak luas, aku sudah terjumpa lima buah restoran Mc D, dan aku sendiri sudahpun memasuki dua daripadanya. Kali ini aku memesan dua keping filato (fillet) dan memakannya di luar restoran sambil memerhatikan orang Milan.


Milan's street scene.

Selepas puas dan penat merayau sambil mengambil gambar, akupun kembali ke stesen Central pada jam 6.00 petang. Masih ada tiga jam lagi sehingga ke waktu berlepas. Milan bukan bandar pelancongan macam Florence dan Venice sebaliknya merupakan pusat perdagangan yang high class . Selain itu Milan juga mempunyai tempat-tempat bersejarah tetapi tidaklah semasyhur Florence dan Venice. Malah akupun hanya mengenali Milan dengan dunia fesyennya. Oleh kerana masa masih panjang terpaksalah aku melepak di stesen central ini selama tiga jam. Agak menjemukan.


The tram adds to the already classical ambience.

Aku tidaklah kesal datang ke Milan. Paling tidak aku sudah menjejakan kakiku di sini.
Setelah habis segala ceruk stesen dan kedai yang ada dalam stesen ini aku lawati, barulah tren ke Paris sampai. Bukan aku tak nak keluar dari stesen ini sebenarnya, tetapi udara di luar terlampau sejuk dan bibirku pun dah mula pecah-pecah sedikit. Lagipun dah tak ada apa lagi untuk kulihat di luar sana.


Eurostar ticket from Milanos Centrale to Paris Bercy, 96.60 euro, with bed.

Keretapi ke Paris (Euronight) moden dan bersih. Aku sebilik dengan dua orang perempuan Cina yang berbahasa Itali sesama mereka. Aku dapati terdapat ramai orang berbangsa Cina di Milan ini. Mereka bukan pelancong tetapi orang Cina yang menetap di bandar ini. Begitu juga dengan orang-orang berkulit hitam.

Keretapi mula meluncur meninggalkan Milan. Aku tak banyak hal, tarik selimut dan terus tertidur. Nak tengok di luar tingkappun tak nampak apa. Passport dan tiket dipegang oleh kondukter. Ciao Milano! Bonjour Paree!


Inside the train compartment before push-off from Milan. Four in a room. Clean and comfy.

Tengah malam, aku terjaga kerana terdapat sedikit kekecohan berlaku di luar bilik.Tren tidak bergerak. Beberapa orang polis Perancis tengah memanggil seseorang di bilik sebelah. Nama yang dipanggil kedengaran seperti Rashid. Penumpang itu mengambil begnya dan diarah turun ke bawah untuk diperiksa. Rupa parasnya seperti orang dari sebelah Timur Tengah.

Aku tidak pasti apa halnya dan terus ke tandas. Aku lihat di luar bertulis Madene, mungkin nama sebuah tempat dan mungkin juga kami sudah berada di tanah Peranchis.

Keretapi bergerak semula dan aku masuk tidur semula. Katil selesa, cuma aku yang tak selesa kerana seluar aku dah mula rasa gatal-gatal.

Tuesday, July 28, 2009

EURO2 : Monday 18 Mac 02 : Venezia


The front entrance of Doge Hotel

Aku bangun jam 7.00 pagi dan mengambil masa mengisi jurnalku selepas mandi. Hari ini aku harus menempah tiket ke Milan terlebih dahulu, barulah boleh aku merayau-rayau di Venice ini.


My sketch in Venice done on Doge Hotel Card and the international phone card that I bought in Venice


One of the smaller canal found between buildings.

Di stesen keretapi Feruvia, aku dapati bahawa ada beberapa jenis tren ke Milan. Terdapat juga tren malam berkatil yang terus ke Paris. Aku menempah tren ke Milan dengan tiket berharga 19.60 euro. Alang-alang sudah di sini, aku hendak juga berhenti dan memijak bumi Milan.



Boats and gondolas are the only means of transportion here.

Dari stesen, aku menaiki bot mengelilingi Venice melalui Grand Canal. Grand Canal ini merupakan highway yang merentangi Venice. Udara hari ini agak sejuk, mujur aku keluar dengan memakai jeket dan sweater.



Parked gondolas

Aku sengaja tidak mengambil jalan darat atau jalan dalam kerana terpaksa berjalan kaki. Tidak terdapat apa-apa bentuk kenderaan lain kecuali berjalan kaki atau menaiki bot sahaja. Lagipun aku tidak berapa tahu jalannya. Memanglah kita tidak akan tersesat cuma letih berjalan sajalah.



The Grand Canal is like a big highway on water.


Buildings along the Grand canal.

Bot yang aku naiki ini macam bas, berhenti pada setiap perhentian. Terpulang pada kitalah samada nak turun atau nak teruskan perjalanan. Tiketnya sama sahaja untuk satu pusingan. Boleh naik dan turun di mana sahaja yang kita suka dengan satu tiket.


Passing under a bridge

Dari dalam bot aku ternampak banner pameran Picasso dan Matisse pada bangunan Palazzo Grassi. Aku memutuskan untuk turun di sini. Sebenarnya aku sudah ternampak poster pameran ini semalam sewaktu aku merayau-rayau. Inilah peluang untuk aku menyaksikan lukisan Picasso dan pelukis-pelukis tersohor lain secara first-hand.


Posters of an ongoing exhibition posted on the sidewalk walls.


Outside Palazzo Grassi, posing beside the poster of the on-going exhibition

Tiket untuk menyaksikan pameran ini berharga 8.5 euro. Ini adalah sebuah pameran mengenai pengaruh seorang pelukis penghujung abad ke 19 bernama Puvic De Chavannes, kepada pelukis-pelukis terkenal Eropah. Aku tidak pernah dengar namanya dan tidak pernah melihat lukisannya sebelum ini, tetapi kebanyakkan pelukis-pelukis moden Eropah seperti Picasso, Matisse, Redon, Gaugin, Seurat, Cezzane dan ramai lagi, banyak dipengaruhi oleh karya-karya beliau.

Aku dapat melihat karya-karya gaya Impressionist, Nabis dan Symbolist. Aku tidaklah terlampau kagum melihat karya-karya ini, tetapi, the fact that looking at these works first-hand, membuatkan aku terasa suatu perasaan yang indah yang amat sukar untuk aku jelaskan. Mungkin juga kerana sebelum ini ada karya-karya ini yang hanya pernah dilihat dalam buku-buku sahaja, terutama karya Gaugin, Redon, Matisse, Munch dan Picasso.


The ticket for the exhibition


The phamlet of the exhibition.

Lukisan yang paling aku gemari dalam pameran ini adalah karya-karya Redon, Munch dan Picasso. Karya-karya Picasso di dalam pameran ini terbahagi kepada tiga era, iaitu selepas pengaruh Puvic de Chavannes, era Cubism dan era post cubism.
Karya-karya Picasso di sini, kudapati, tidaklah sehebat mana dari segi tekniknya kalau nak dibandingkan dengan pelukis-pelukis lain, tetapi beliau merupakan pelukis yang berani berkarya dengan gaya yang baru dan berbeza pada zamannya.
Walaupun terdapat pengaruh Puvic kepada karya Picasso, bagiku lebih besar dan ketara lagi pengaruh Picasso terhadap pelukis-pelukis moden di seluruh dunia hingga ke hari ini.

Aku merasakan bahawa lawatan aku ke Venice amat berbaloi kerana berkesempatan menyaksikan pameran ini. Katalog pamerannya tebal dan terlalu mahal, jadi aku hanya mampu membeli beberapa keping poskad lukisan yang terdapat dalam pameran ini sajalah.


On La Giu Decca Island, before heading to Piazza San marco

Selapas menyaksikan pameran aku menaiki bot semula dan menyambung mengelilingi Venice melalui Grand Canal. Aku ingin ke Piazza San Marco, tetapi tersilap turun di Pulau La Giudecca di Port Zitelle. Di situ aku merayau dan mencari makanan. Aku memakan biskut, sebiji pisang dan yoghurt. Aku makin menggemari yoghurt kerana yoghurt di sini sangat enak.


Grandios on water


The pillars that welcome us as soon as we step in San Marco


Intricately beautiful exterior.

Aku meneruskan perjalanan dengan bot ke Piazza San Marco, salah satu tarikan pelancong yang terdapat dalam mana-mana brochure mengenai Venice. Satu ikon yang sinonim untuk Venice selain terusannya.


The legendary tower at Piazza San Marco.



Di sini terdapat square atau medan yang dikelilingi oleh gereja dan bangunan-bangunan lama yang begitu cantik dan menarik binaannya. Terdapat banyak lagi binaan-binaan yang cantik di Venice ini, tetapi inilah binaan yang paling masyhur. Di sini juga terdapat beribu-ribu burung atau pigeon yang sama banyaknya dengan pelancong.
Selepas mengambil gambar, aku pulang semula ke Ferruvia station.


Posing in front of San Marco's beautiful architecture


Pigeons everywhere.


My small but comfortable room and its limited window view.

Dari Ferruvia station, aku balik berehat di bilik, tetapi sebelum itu aku singgah makan pizza. Punyalah lapar, aku dapat menghabiskan dua keping dalam sekelip mata.
Lewat petang aku keluar semula untuk mencari sedikit cenderamata dari venice untuk dibawa pulang.
Udara semakin sejuk dan kabus meliputi keseluruhan Kota Venice.
Manusia berpasang-pasangan di sana sini. Aku menggerakkan kakiku dengan longlai. Kesepian bagai mengekori aku balik ke bilik.