Monday, July 27, 2009

EURO2 : Sunday 17 Mac 02 : Venezia


Last sketch in Florence

Aku bangun jam 6.30 pagi dan terus mengemas barang-barangku. Aku akan tinggalkan kanvas yang aku bawa kepada Larry. Selepas mengemas beg, aku turun untuk bersarapan di kafe hotel Castri buat kali terakhirnya. Seperti biasa, Larry sudah ada di sana.
Selepas sarapan aku naik untuk menyambung berkemas dan mencatat jurnalku.


Ini poskad Hotel Castri, pemandangan dari sudut tamannya. Bilik aku yang tingkap terbuka itu. Hotel ini 3 star, tetapi dua dah jatuh, tinggal satu!. Selama sepuluh hari sembilan malam aku di sini.


View of Castri Hotel's garden from my room.

Siaran di TV asyik menayangkan perlumbaan Formula One secara live dari Sepang Malaysia.
Aku nampak sedikit muka orang malaysia, muka Pak Lah Ahmad Badawi dan wajah Yang Dipertuan Agung. Selain sirkit Sepang, logo Petronas dan sedikit bendera Malaysia, kita tidak akan tahupun yang ditonton itu adalah negara kita Malaysia. Commentator pula berbahasa Itali, yang terdengar lebih banyak nama Schumacher daripada nama Malaysia. Orang-orang Itali memang obses dengan sukan lumba kereta formula satu ni.


Another perspective of Florence from my room.

Larry datang ke bilik aku dan kami bertukar-tukar cenderamata. Kami juga menunjukkan foto karya-karya masing-masing. Aku memberi sedikit wang Malaysia, frem lukisan, kanvas dan kopi segera yang aku bawa dari Malaysia kepadanya.

Jam 11.30 pagi, aku check-out dari hotel Castri. Larry menghantar aku ke stesen keretapi. Aku terasa sedikit sedih nak berpisah dengannya. Larry akan terbang ke Munich besok. Mungkin satu hari nanti, kami akan bertemu lagi.
Well, Ciao Larry, Ciao Firenze.


The train ticket from Florence to Venice

Keretapi ke Venice akan bertolak jam 12.30 tengahari. Aku terpaksa menunggu di stesen selama 45 minit. Orang begitu ramai, berbagai bangsa berbagai warna. Keretapi Eurostar ini moden dan laju. Ciao Firenze, Bonjorno Venezia.

Keretapi terasa meluncur dan melintasi bandar Bologna, Ferrara, Rovigo, Monselis (yang amat indah dengan bukit-bukaunya), Padova dan Mestre. Sepanjang perjalanan terdapat pemandangan yang menghijau kerana dipenuhi dengan kawasan pertanian. Apabila melihat pemandangan yang begitu luas terbentang, aku dapat bayangkan betapa jauhnya aku dari tanah air.

Kami tiba di Venice jam 3.00 petang. Keretapi melalui landasan di atas air sebelum tiba di stesen S. Lucca. Aku terus menuju ke pejabat informasi sebaik tiba di Venice untuk mendapatkan peta dan senarai tempat-tempat penginapan.

Tanggapan pertama aku tentang Venice - menakjubkan! Bandar Venice ini dibina di atas air.
Aku meneliti senarai hostel yang murah dan cuba menghubungi hostel-hostel tersebut untuk bertanyakan kekosongan.
Seorang gadis German yang bertindik hidungnya juga sedang mencari bilik. Dia menyapa aku dan kami berbincang mengenai tempat yang sesuai. Namanya Steffani. Dia ingin berada di Venice buat beberapa hari.

Dalam asyik meneliti senarai hotel, seorang promoter datang menawarkan kami bilik yang hampir dengan stesen ini. Bilik single berharga 25.00 euro semalam tanpa sarapan.
Kami mengikut peta yang diberi dan satelah 10 minit berjalan, kami sampai ke sebuah hotel kecil bernama Doge. Malangnya hanya satu bilik single sahaja yang tinggal. Steffani menyuruh aku mengambil bilik itu dan dia akan mencari tempat yang lain. OK, nice to meet you and hope we'll bump into each other again here in Venice.

Bilik di hotel Doge bersih dan cantik tetapi kecil betul. Aku berada di tingkat tiga. Selepas meletakkan beg, aku keluar untuk melihat-lihat sekitar Venice.

Seperti Florence, Kota Venice juga dipenuhi oleh ribuan pelancong. Aku melihat pelancong di atas gondola atau perahu yang didayung oleh pengemudi yang berdayung sambil mendendangkan lagu, sama seperti di dalam filem yang pernah aku tonton.

Aku berasa amat terharu kerana dapat menjejakkan kakiku ke tempat yang masyhur dan unik ini. Aku merayau mengikut hayunan kakiku dan bercadang untuk melawat kota ini sepenuhnya pada keesokan harinya.

Pada hari pertama ini aku dapati selain air, terusan dan gondola, Venice dipenuhi juga dengan jualan topeng-topeng masquerade, cenderamata dari kaca dan pastries. Venice juga mempunyai aura romance. Venice akan lebih romantik lagi jika berkunjung bersama orang yang dikasihi.
Termenung aku sejenak...

Aku ke stesen keretapi semula untuk melihat jadual tren ke Milan. Aku membeli dua keping coklat snickers dan pulang ke bilik. Mungkin aku akan berada di sini buat sehari dua lagi. Besok aku akan merayau sepenuhnya sambil merakam foto.

No comments:

Post a Comment