Thursday, July 30, 2009

EURO2 : Rabu 20 Mac : Paris

Aku terjaga jam 6.00 pagi. Keretapi ekspres meluncur dengan laju dan senyap. Aku ke tandas untuk memberus gigi dan membasuh mukaku. Di luar keadaan dah mula cerah dan dapatlah aku melihat muka bumi Perancis sambil menyedut rokok.

Pemandangan di luar sungguh cantik bercahayakan matahari pagi. Bumi Perancis sungguh bersih. Rumah-rumah berseni bina klasik tersusun indah. Aku dapati negara Perancis lebih bersih dan teratur kalau nak dibandingkan dengan Itali.

Walaupun begitu terdapat juga grafiti di tembok-tembok sepanjang landasan.
Aku mengagak bahawa di mana saja ada anak muda, tentu ada grafiti. Ini tabiat atau ekspresi anak anak muda di mana sahaja pada zaman ini. Grafiti di Perancis tidak secantik dan berseni kalau nak dibandingkan dengan grafiti di Itali. Mungkin di Itali mereka boleh menconteng dengan tenang atau mungkin juga orang-orang Itali memang lebih artistik.

Penumpang diberi secawan kopi panas. Setengah jam sebelum tiba di Paris cuaca begitu cerah dan ini memberi harapan padaku yang aku akan gembira berada di Paris.
Namun begitu aku gagal juga mengusir kerisauan - sambil menikmati pemandangan yang cantik, fikiranku tetap berlegar sekitar persoalan bagaimana aku akan mampu berada di sini kerana kewanganku semakin terhad.

Mahalkah sewa bilik di Paris? Kalau macam Milan bagaimana...? Mungkin aku akan percepatkan kepulanganku.

Aku ingin juga ke London untuk menemui Akmal, anak saudaraku. Aku juga teringin ke Amsterdam. Ah... lupakan sajalah! Dapat menjejakkan kaki di kota Paris ni pun dah kira cukup bagus. Atau..., aku boleh meminjam sedikit wang dari Akmal setibanya aku di London dan membayar kembali bila aku pulang nanti. Malu juga rasanya nak meminjam dari anak buah walaupun dia sudah bekerja. Tengoklah nanti!

Apabila keretapi menghampiri Paris, langit menjadi gelap semula. Pemandangan dipenuhi dengan bangunan-bangunan perindustrian menandakan yang kami telahpun memasuki kota Paris.

Pemandu mengumumkan ketibaan dan Alhamdulillah, jam 8.35 pagi, aku menjejakkan kakiku di bumi Paris di stesen keretapi Paris Bercy (Paris mempunyai empat stesen utama keretapi) Stesen Paris Bercy hanya sebesar stesen keretapi Kuala Lumpur yang lama dulu.

Aku berhenti di luar stesen untuk mengemaskan begku sambil menyedut rokok. Aku dihampiri oleh seorang anak muda (ulat) yang mempromosikan sebuah hostel. Harganya menarik, hanya 15 euro untuk satu malam. Dia memberi peta dan menerangkan kepadaku bagaimana hendak ke sana. Aku agak tertarik kerana selain harganya yang dalam kemampuanku, kawasannya pula berhampiran dengan Montmarte; tempat yang menjadi penyebab kepada keinginanku untuk ke Paris ini.

Aku mengikut arahan peta dan mencari stesen Metro nombor 14 dari Bercy ke Catalet. Metro adalah rangkaian keretapi bawah tanah seperti LRT di KL. Harga tiketnya 1.30 euro untuk satu hala. Di Catalet aku menukar tren ke Barbes dengan menggunakan tiket yang sama.
Setibanya di Barbes, aku mencari hostel yang bernama Friends. Setelah berpusing-pusing, baru aku sedar rupanya ia berada betul-betul berhampiran dengan tempat yang aku turun tadi.

Hostel Friends ini untuk backpackers. Satu bilik memuatkan tiga hingga empat orang dan aku ditempatkan di bilik nombor 14. Biliknya agak luas tetapi tandas dan bilik mandi di tempat berasingan.

Selepas meletakkan beg di dalam bilik, aku keluar merayau mengikut kaki. Hostel ini kepunyaan keluarga Arab dan berada di kawasan orang Islam berhampiran dengan Montmarte. Di sini terdapat ramai orang Islam berbangsa Arab dan ramai lagi orang Islam berkulit hitam. Terdapat sebuah masjid berhampiran dan aku tidak risau untuk mendapatkan makanan halal.


The famous Sacre Cour Dome

Aku menuju ke kawasan Montmarte dan mendaki mencari bangunan Sacre Coure Dome. Bangunan-bangunan inilah yang pertama kucari setibanya di Barbes. Sebabnya beberapa tahun dulu, sebagai free-lance artist, aku pernah melukis gereja ini dan bangunan-bangunan lain di Montmarte ini untuk dijadikan back drop majlis pelancaran French Airlines. Bagai tidak percaya melihat gereja masyur yang menjadi salah sebuah land mark kota ini; yang dulu kulihat dalam buku, kini berada di depan mata.


Au Lapin Agile, exactly as it is in the book.

Aku juga menemui bangunan Au Lapin Agile dan Le Maison Rose yang juga terdapat dalam buku rujukan sewaktu melukis dahulu. Satu perasaan gembira dan kagum menusuk-nusuk hatiku. Pertamanya kerana aku berjaya sampai ke tempat yang aku idamkan semenjak 1991 dahulu dan kedua kerana ia masih seperti gambar dalam buku rujukan aku dahulu. Sebijik !


Le Maison Rose


A place for artist to display their painting skills

Di puncak bukit aku sampai di kawasan yang khusus disediakan untuk pelukis-pelukis jalanan. Melihat pelukis-pelukis di sini mengingatkan aku pada teman-teman pelukis di perkampungan pelukis di Jalan Conlay, KL. Kami di Jalan Conlay mempunyai ruang yang lebih luas untuk berkarya dan mempamir. Bezanya di sini, pelukisnya lebih ramai dan kebanyakannya adalah pelukis dalam bentuk realist. Subject matter lukisan juga lebih touristic, iaitu lukisan bangunan-bangunan terkenal di sini. Manakala pelukis potretnya pula melukis secara live sitting dan bukan dari gambar. Kawasan ini dikelilingi oleh restoran yang dipenuhi dengan peminat-peminat seni.



A heaven for artist and art lover.



Another familiar sight for me

Di sini aku terasa lapar dan membeli sekeping crepe, sejenis kuih seakan kuih ketayap tetapi lebih besar dan dilipat dengan berlainan cara dan diisi dengan bahan kesukaan kita. Aku memesan inti tomato (tomat, dalam bahasa Perancis) berserta dua jenis keju. Harganya 4 euro. Sedap ! Aku memakan dengan kemaruk sebab terlalu lapar.


View of Paris from the top of Montmarte. Awesome...

Aku turun dari Montmarte mengikut jalan lain dan di sini barulah aku nampak sebahagian daripada kota Paris. MasyaAllah... besarnya. Di sini jugalah aku dapat melihat buat pertama kalinya Eifel Tower nun jauh di sana. Aku akan ke sana besok.


Paris from Montmarte

Jam 2 petang, aku balik ke bilik dan bertemu dengan penyewa sebilikku, Yoshi dari Tokyo. Seorang pelajar seni bina yang melawat Eropah buat kali kedua. Dia sudah dua minggu berada di Eropah dan besok akan ke London untuk pulang ke Jepun. Kami bercerita tentang pengalaman masing-masing di Eropah.

Jam 6 petang, aku keluar semula untuk mengenali kawasan berhampiran. Di Barbes ni banyak betul orang Arab dan Afrika. Aku tersilap memasuki sebuah jalan yang sunyi dan berselisih dengan beberapa orang berkulit hitam. Yang peliknya aku terasa tidak selesa walaupun aku tahu mereka orang Islam. Aku terasa lebih selamat berada di kawasan seberang iaitu kawasan orang Perancis.

Aku terjumpa kedai Turki yang menjual kebab. Aku pun belilah. Harganya empat euro. Punyalah besar! Rotinya diisi dengan daging kebab, sayur dan kentang yang menimbun. Aku ingat aku tak akan dapat menghabiskannya, rupa-rupanya, licin. Punyalah kenyang sehingga aku tak perlu makan sampai tengahari esok!. Inilah kali pertama aku memakan daging semenjak meninggalkan Malaysia.

Balik ke bilik, aku dapati Yoshi sudah keluar. Aku tidur dengan perut yang begitu kenyang.
Aku bermimpi berada di kampung. Dalam mimpi itu aku terasa yang pengalaman aku di Eropah ini sebenarnya hanya sebuah mimpi.... bukan betul. Mungkin aku dah mula rasa homesick.

7 comments:

  1. Au Lapin Agile dan Le Maison Rose ...apa istimewanya bangunan ni bro?

    Dalam train bole berasap gak ye bro?ada smoking area ke?

    ReplyDelete
  2. Wow, this is lovely! Aayang Hubby said, Congratulations!

    ReplyDelete
  3. Aris, Au Lapin Agile dan Le maison Rose adalah dua bangunan lama yang selalu dipaparkan dalam mana2 buku mengenai Montmarte di Paris. Yang menariknya rupa dan warna nya di kekal begitu sehingga kini. Menarik bagi sya pula kerana keduanya termasuk beberapa bangunan lain di bukit ini telah saya lukiskan bersaiz 16 kaki x 300 kaki lebih sebagai backdrop launching French airline dulu, berpandukan buku. Bayangkan perasaan saya apabila dapat melihatnya secara live dengan rupa yang masih sama.

    ReplyDelete
  4. ASW, thanks, i'd really love to meet ayang hubby and you with your family. We haven't met since his bachelor days. I still miss his room at Damansara.We 've gone through wonderful time together... heee...

    ReplyDelete
  5. P.S Aris,
    Ya, ada smoking smoking area.

    ReplyDelete
  6. Yaaa...he told me A LOT about his old time friends, plus the ex-girlpren! oopss! :)

    Come...drop by at our place at any time! Love to meet kak Eta as well.

    ReplyDelete