Friday, July 31, 2009

EURO2 : Khamis 21 Mac 02 : Paris

Di Paris aku mandi dua kali sehari, orang Malaysia ni tak boleh kalau tak mandi. Sejuk macam mana sekalipun mesti mandi. Mujurlah ada air panas.

Aku menambah sewaan hostel satu hari lagi dan keluar ke Paris jam 9.30 pagi. Sebelum itu aku menelefon Malaysian Airline untuk mempercepatkan tarikh kepulanganku. Pertama sebab aku dah mula rasa homesick dan kedua kerana 'fulus' semakin berkurangan.
Paling awal flight yang ada pada 30 Mac. Ini bermakna aku harus tinggal di sini selama sembilan hari lagi. Itu pun aku dah memendekkannya selama lima hari dari tarikh asal.
Setelah mengira baki duitku, aku bercadang untuk membatalkan saja niatku ke London dan Amsterdam. Baki duitku cukup-cukup untuk berada di Paris sehingga pulang.

Aku mengambil Metro keluar ke bandar Paris. Wah... dah pandai main Metro!
Aku mesti cari Louvre, galeri yang ada piramid kaca di halaman depannya.


The Seine

Aku turun di Catalet dan menyusuri tebing sungai Seine (aku teringatkan Van Gogh).


Air sungai Seine tidak jauh beza warnanya dengan sungai Klang cuma ianya bersih tanpa sebarang sampah sarap.

Timer shot. You have to find a spot for you to prop up your camera for the shoot.


The weather is quite cloudy today


Flocks of tourist preparing to enter the Louvre


The Louvre

Di Louvre aku hanya mengambil gambar dari luar. Aku tidak masuk melawat galeri walaupun tiketnya hanya 8 euro sahaja. Aku termenung di luar sambil menghayati seni bina klasiknya.Tidak apalah tak dapat berjumpa dengan 'Mona Lisa'. Aku ada membawa cat air, kononnya mahu melukis tapi habuk pun tak ada!



The iconic glass pyramid


Contrast of old and new


Compulsory posing in front of The Louvre for every artist.



Eifel Tower already in view.

Dari Louvre aku bergerak menuju ke Champ De Elysis, pintu gerbang besar yang berupa ikon kedua kota Paris selepas Eifel Tower.
Aku singgah di pertengahan jalan untuk membeli crepes lagi, sekali ini berintikan jam pula. Aku gemar betul lempeng Perancis ini.


Arc De Triumph

Aku teruskan berjalan ke gerbang Champ De Elysis (Arc de Triumph). Nampaknya seperti dekat tetapi sebenarnya agak jauh juga.

Di Paris ini terdapat pekerja beruniform dan berbasikal, yang kerjanya mengutip najis-najis anjing yang bertaburan di sepanjang jalan di bandar. Aku tidak pasti sama ada orang Perancis ni pembersih atau mereka betul-betul sayangkan anjing.



Dari sini aku menuju ke Eifel Tower pula. Di pertengahan jalan aku digamit oleh seorang lelaki yang berada di dalam sebuah kereta. Aku teringat pesanan abang aku dan juga Larry supaya jangan percayakan sesiapa sewaktu travel tetapi aku nampak seperti dia memerlukan pertolongan. Aku menghampiri dan dia perkenalkan dirinya.



Namanya Sign Gemmare. Seorang pengarah pameran sebuah syarikat yang mengeluarkan pakaian berjenama dari Rome. Dia menghulurkan kad nama dan menceritakan yang dia di Paris atas urusan pameran pakaian berjenama Moda V Italiana. Dia menunjukan dua helai jaket kulit yang cantik bersama katalognya. Dia akan memberinya kepadaku jika aku dapat membantunya.
Aku agak skeptikal dan takut akan terkena. Dia menceritakan bahawa dia telah kalah judi semalam sambil menunjukkan sekeping chip casino kepadaku bersama paspotnya.

Dia memerlukan US100 untuk mengisi minyak keretanya yang telah kehabisan untuk pulang ke Rome. Aku tak tahu sama ada ceritanya tulin ataupun tidak. Aku memberitahunya bahawa aku tak berduit kerana aku hanyalah seorang poor traveller. Dia kata bagilah berapa yang aku ada kerana dia malu untuk meminta dari orang lain. Inipun katanya dia dah menjual air mukanya.

Aku terasa kesian dan dalam masa yang sama aku teringin juga pada jaket tadi. Lagipun kalau orang nak menjual jaket secantik ini tak kanlah semurah itu. Sewaktu di Florence aku perhatikan, semurah- murah jaket kulit berharga 80 euro. Ini dua helai pulak tu! Dengan taik judi ni apapun boleh jadi.

Aku menawarkan 20 euro kepadanya tetapi dia berkata yang jumlah itu tidak mencukupi dan menarik muka kesian. Aku menambah tawaranku ke 60 euro kerana aku hanya ada 80 euro sahaja di dalam dompetku, yang lain aku simpan berasingan. Dia meminta supaya aku menambah lagi 10 euro. Aku bersetuju dan dia amat gembira lalu memberi kedua jaket itu kepadaku.

Aku rasa seperti tidak percaya. Dia menambah kalau aku ke Rome, dia akan belanja aku makan dan akan membayar balik duitku. Jaket itu dihadiahkan kepadaku.



Aku merasakan mungkin ini rezeki aku kerana aku memang inginkan jaket kulit dari Itali sebelum ini, cuma aku tak cukup duit untuk membelinya.

Sambil berjalan aku akan berhenti dan membuka beg untuk melihat jaket tadi kerana aku masih tidak percaya dengan apa yang telah berlaku padaku. Dua helai jaket kulit paling tidak berharga 200 ke 300 euro sehelai, tapi aku memilikinya dengan harga yang sangat murah.



Berjalanlah aku menuju ke Eifel Tower seperti orang yang baru sudah shopping di butik yang eksklusif, cuma sekarang bajetku semakin sempit. Aku masih mampu untuk membayar sewa hostel sehingga pulang, cuma makan tidak boleh sesuka hati lagi.


The ever iconoc Eifel Tower

Aku tiba di Eifel Tower dan termenung sejenak betul-betul di bawah menara. Aku mengambil sedikit foto sahaja kerana aku jangkakan yang besok aku boleh datang ke sini semula. Lagipun aku aku ingin segera pulang ke hostel untuk meneliti betul-betul jaket yang aku dapat ini.



Di pertengahan jalan, hujan turun dengan renyai. Aku teruskan langkahku sambil mengepit beg berisi jaket tadi rapat ke badanku.


Setibanya aku di hostel, aku terus mengunci pintu dan memeriksa jaket tadi. Buatannya cantik cuma saiznya sedikit besar untukku. Tak kisahlah, jaket kalau sedikit besar tidak mengapa. Sehelai lagi berupa kot untuk wanita, siap dengan bulu di kolar dan tangan.

Terlintas juga untuk aku menjualkannya di sini supaya dapat menampung perbelanjaanku tapi takut juga nanti aku dituduh mencuri. Aku melipat dan menyimpan ke dalam beg setelah dua kali mencubanya.

Pada sebelah petang aku mendapat teman bilik yang baru. Seorang lagi pemuda Jepun bernama Takashi. Kami saling memperkenalkan diri. Kalau semalam Yoshi dari Tokyo seorang pelajar seni bina, kali ini pelajar tahun akhir jurusan elektronik dari Osaka pula. Aku dapati orang Jepun memang peramah walaupun bahasa Inggeris mereka teruk.

Kami berbual panjang. Kemudian Takashi mengajak aku keluar bersama, tetapi aku menolak kerana aku ingin berada di bilik sahaja. Aku sudah tak berdaya untuk keluar lagi. Biskut sajalah untukku malam ini.

Aku bercadang untuk tinggal sehari sahaja lagi di Paris dan bertekad untuk teruskan juga perjalanananku ke London. Aku fikir lebih baik aku gunakan perbelanjaanku di Paris ini sebagai tambang ke London.

Tiket kapalterbang yang telah ditempah adalah penerbangan dari Paris ke KL dan transit di London; dan hanya boleh digunakan pada 30 Mac. Transit di London, bererti aku tidak akan berpeluang untuk melawat kota London. Akhirnya aku menetapkan keputusanku. Esok aku akan menelefon Malaysian Airline lagi untuk cormfirm bahawa aku akan hanya mengambil penerbangan dari London ke KL pada 30 Mac. Jadi aku akan bertolak ke London dengan keretapi lebih awal dari Paris ini


EPILOG

Setelah seminggu aku memakai jaket tadi di London, barulah terbukti bahawa ianya bukanlah dari kulit yang bermutu tinggi. Rupanya aku terkena juga. Tapi, 70 euro untuk dua jaket kulit murahan tidaklah begitu teruk. Nasib aku masih baik kerana waktu itu wangku tidak banyak. Dalam berjaga-jaga pun terkena jugak. Hidup ini serupa saja di mana-mana, sentiasa ada manusia yang cuba untuk mencari rezeki dengan memperdayakan orang lain. Kedua dua jaket tadi masih kusimpan hingga ke hari ini sebagai 'momento' kembara aku di Paris ini.

2 comments:

  1. Mmg kita selalu berhati-hati
    Tapi kdg2 tak sampai hati
    Sbb org nak menipu ni pandai beraksi
    X pe la, walaupun jaket tak berkualiti tinggi
    Asalkan tak makan hati.

    ReplyDelete
  2. Heee...
    Terima kasih sekali lagi
    kerana sudi mengikuti
    salam to ayang hubby

    ReplyDelete